Polis bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah seorang lelaki setelah berunding selama enam jam bagi membebaskan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang dijadikan tebusan di sebuah rumah di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata langkah itu terpaksa diambil setelah lelaki terbabit, yang berumur 34 tahun, bertindak agresif ketika proses rundingan.
"Tembakan tersebut telah terkena pada rusuk kiri suspek, bagaimanapun, mangsa berjaya diselamatkan dan kedua-dua mereka dibawa ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) untuk rawatan lanjut, manakala mangsa dirawat bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang kecederaan fizikal semasa dikurung," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata dalam kejadian 10 pagi itu, polis menjalankan rundingan dengan turut memanggil pakar psikiatri HKL dan seorang rakan suspek untuk memujuk lelaki berkenaan, namun dia bertindak lebih agresif.
"Suspek sebelum itu secara tiba-tiba meluru masuk ke dalam rumah terbabit dan mengambil pisau siang ikan di dapur sebelum menahan mangsa dan mengacukan pisau itu ke leher mangsa yang ketika itu sedang menonton televisyen bersama ibu, adik serta dua lagi sepupunya.
"Suspek kemudian mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya ada yang cuba menghampirinya, sebelum membawa mangsa masuk ke dalam bilik serta mengurungnya dan menutup bilik itu dari dalam," katanya.
Zulkarnain berkata ruang bilik yang agak kecil menyukarkan anggota polis kerana suspek boleh bertindak dengan pantas jika berasa dirinya terancam.
Beliau berkata semasa proses rundingan, suspek tidak menuntut sebarang wang tebusan sebaliknya hanya meminta agar dia tidak diapa-apakan, selain air dan dadah.
"Dia minta air, kita bagi air tapi dia minta dadah memang kita tidak bagi," katanya sambil menambah suspek tidak mempunyai sebarang rekod rawatan psikiatri namun pernah memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes samun.
Beliau berkata polis masih menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961.
Bapa mangsa yang hanya dikenali sebagai Syafrudin, 47, berkata ketika kejadian, dia berada dalam satu daripada dua bilik di rumah itu manakala isteri, anak serta anak saudaranya di ruang tamu menonton televisyen.
"Pintu rumah ketika itu tidak berkunci, lelaki itu kemudian meluru masuk dan terus menangkap anak saya serta mengacukan pisau ke lehernya sambil mengugut sekiranya ada yang menghampiri, dia akan mencederakan anak saya," katanya.
Dalam pada itu, jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Ramli berkata beliau yakin suspek bukan penduduk di kawasan itu (Kampung Baru) kerana kelibat suspek tidak pernah dilihat sebelum ini.
Katanya, suspek mungkin datang dari kawasan lain sebelum masuk ke rumah itu dan menjadikan kanak-kanak perempuan tersebut sebagai tebusan.
Pendapat beliau turut disokong Suhardi Osman, 45, yang memaklumkan sebelum ini, suspek pernah membuat kecoh di sebuah pasar berdekatan.
"Saya dapat tahu suspek terlebih dahulu telah membuat kecoh di pasar pada waktu pagi sebelum dihalau oleh orang ramai, dan ini mungkin punca mengapa beliau menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai tebusan," katanya ketika ditemui. BERNAMA
No comments:
Post a Comment