Monday, January 30, 2012

Bekas Dekan UiTM Dihukum Penjara


Bekas dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Md Saberi Md Salleh dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara setahun selepas rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan kerana kesalahan mengesahkan invois palsu, ditolak.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Sulaiman Daud memutuskan tertuduh mempunyai niat untuk mengelirukan sedang dia tahu peralatan sukan itu tidak dibekalkan kepada universiti berkenaan.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Mohtaruddin Baki, menolak rayuan Md Saberi bagi mengetepikan sabitan terhadapnya.
Bagaimanapun, panel itu membenarkan rayuan tertuduh berhubung hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengurangkannya kepada setahun.
Dalam penghakimannya, Hakim Sulaiman berkata hukuman penjara tiga tahun terlalu berat memandangkan ini adalah kesalahan pertama Md Saberi.
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan yang dijatuhkan terhadap tertuduh, yang membayar denda itu.
Sementara itu, panel tersebut melepas serta membebaskan seorang ahli perniagaan wanita Zaleha Abd Rahman, 52, setelah membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM10,000 kerana bersubahat dengan Md Saberi.
Hakim Sulaiman memutuskan pendakwaan gagal membuktikan Zaleha, pemilik syarikat pembekal barangan sukan, mempunyai niat dan pengetahuan bahawa Md Saberi hendak mengelirukan universiti itu.
Md Saberi didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 15 Okt 2008 atas pertuduhan mengesahkan invois palsu bertarikh 4 Mac 1999 yang menyebut seunit 'Multi-joint 2 AP' berharga RM138,000 telah diterima fakultinya, sedangkan peralatan sukan itu tidak dibekalkan.
Md Saberi dan Zaleha dituduh melakukan kesalahan itu di fakulti berkenaan di kampus UiTM Shah Alam antara 24 Mac dan 2 April 1999 dan dihukum mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Pada 17 Februari 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman penjara. Bagaimanapun, mereka dibenar menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulkarnain Hassan. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman