Wednesday, January 25, 2012

Pemandu Lori Ditemui Mati


Seorang pemandu lori ditemui mati dalam keadaan tersandar di kerusi di luar sebuah kuil di Jalan Langat pagi ini, dipercayai dibunuh suspek yang melarikan kereta miliknya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata mayat Pajan Singh, 55, ditemui penjaga Kuil Periyachikali Aman pada kira-kira 7.30 pagi.
"Penjaga kuil itu pada mulanya menyangkakan mangsa tertidur di tempat pembakaran mayat di luar kuil itu. Dia kemudian menghubungi ambulans selepas mendapati mangsa telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, Selasa.
Beliau berkata bedah siasat mendapati rusuk kiri mangsa patah dan doktor mengesyaki dia mati dibunuh.
Mohamad berkata sebelum mayat mangsa ditemui, polis menahan sebuah kereta jenis Proton Waja di Taman Berkeley di sini pada kira-kira 2 pagi, yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati ia milik mangsa yang ditemui mati di kuil berkenaan," katanya.
Beliau berkata siasatan awal ke atas suspek yang melarikan kereta mangsa mendapati dia positif dadah.
Mohamad berkata ketika disoal siasat, suspek mengaku menemui Pajan Singh di Teluk Pulai di sini dan bertindak menendang mangsa serta meninggalkannya di kuil berkenaan sebelum melarikan kereta tersebut.
"Ketika polis mengesan keluarga mangsa berdasarkan nombor pendaftaran kereta itu, anak mangsa memaklumkan mangsa keluar dari rumah semalam dan tidak pulang lagi sehingga polis datang ke rumah mereka," katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman