Wednesday, January 25, 2012

Polis Tahan Dua Lelaki Berhubung Kes Bunuh Di Ipoh


Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang meninggal dunia akibat cedera dipukul penduduk sebuah taman perumahan di sini setelah disyaki cuba menceroboh sebuah rumah penduduk, tiga hari lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahlan berkata kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing berumur 29 dan 30 tahun direman selama empat hari bermula Isnin lepas dan polis sedang mengesan beberapa lagi suspek.
Suspek berusia 29 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah manakala seorang lagi suspek mempunyai satu rekod jenayah, katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.
Katanya mangsa, Mohd Fairus Razali, 31, dari Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini meninggal dunia pada kira-kira 1.50 pagi, iaitu lima jam selepas dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan.
"Hasil bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan di bahagian kepala mangsa dan dada dipercayai dipukul dengan objek keras," katanya.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam, Isnin lepas, penghuni sebuah rumah di Taman Mas di sini yang melihat lelaki itu yang memegang sebilah pisau sedang membuka pagar rumahnya telah mendapatkan pertolongan daripada beberapa penduduk yang telah mengejar lelaki tersebut dan memukulnya hingga cedera.
Seorang daripada penduduk berkenaan kemudian menghubungi polis dan polis kemudian menghantar lelaki itu ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan, bagaimanpun dia dilaporkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Shukri berkata polis turut merampas sebilah pisau dan motosikal milik mangsa dan menurutnya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman