Sunday, January 29, 2012

Bot Karam: Seorang Nelayan Mati Lemas, 19 Selamat

Seorang nelayan mati lemas manakala 19 lagi nelayan termasuk tekong ditemui selamat apabila bot pukat tunda mereka karam dipukul ombak berhampiran perairan Pulau Songsong, Yan pada Ahad.
Sepuluh nelayan yang selamat itu terpaksa mengharungi saat getir terapung di laut selama setengah jam bersama mayat rakan mereka, Ahmad Radzi Ghazali, 58, sebelum diselamatkan bot nelayan lain yang membawa mereka pulang ke Jeti Kuala Kedah, dekat sini.
Tekong bot berkenaan Mohd Ismail Hashim berkata ketika kejadian kira-kira pukul 2 pagi, mereka berada 20 batu nautika dari Jeti Kuala Kedah dan keadaan laut bergelora serta angin kencang menyebabkan bot yang penuh dengan ikan seberat tujuh tan itu karam.
"Tiba-tiba bot yang saya kemudi dipukul ombak sebanyak tiga kali menyebabkan sukar untuk mengawalnya. Saya mengarahkan semua awak-awak memakai jaket keselamatan dan berada di hadapan kapal," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Kedah, Ahad.
Beliau berkata Ahmad Radzi ketika itu dikatakan ke bahagian bawah bot untuk mengambil barang-barangnya dan gagal menyelamatkan diri sebelum bot itu karam.
"Selepas bot karam, kami berpaut pada dua pelampung dan berada dalam kumpulan serta memastikan mayat Ahmad Radzi juga bersama kami bagi mengelak dihayutkan ombak sementara menunggu bantuan daripada bot nelayan yang lalu di kawasan itu," katanya.
Ismail bersama awak-awaknya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kedah sejurus tiba di Jeti Kuala Kedah pagi ini.
Mayat Ahmad Radzi dihantar ke bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kuala Sematang, Kuala Kedah.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum yang melawat mangsa bot karam itu berkata setiap bot nelayan perlu memastikan ia dilengkapi jaket keselamatan dan pelampung mencukupi dan dalam keadaan baik.
Beliau berkata peralatan itu penting kerana dapat menyelamatkan nelayan daripada lemas jika berlaku kes kecemasan pada masa akan datang.
Johari sebelum itu menyampaikan bantuan awal oleh Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) bagi meringankan beban yang dialami 20 mangsa bot karam itu termasuk keluarga mangsa mati lemas. - BERNAMA Januari 29, 2012

No comments:

Post a Comment

halaman