Monday, January 30, 2012

Wanita Parah Ditembak Dalam Samun Di Pasir Mas


 Seorang wanita parah akibat ditembak dalam kejadian samun di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, pada Isnin.
Ketua Polis Kelatan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata Che Asmah Che Awang, 50, cedera parah di bahagian bawah dada sebelah kanan dalam kejadian 5 pagi itu.
Mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan keadaannya dilaporkan stabil, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata berdasarkan kelonsong peluru yang ditemui, polis percaya kumpulan perompak terbabit menggunakan pistol jenis Revolver .38.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata selain Che Asmah, terdapat empat lagi individu di dalam rumah tersebut ketika kejadian iaitu suami Che Asmah, Mohamad Lawi Dollah, 54, anak mereka Mohd Khairul Azani, 26, serta isteri dan anak Mohd Khairul Azani.
Rompakan dipercayai dilakukan oleh lima orang suspek termasuk seorang yang menunggu di dalam kereta jenis Proton Iswara berwarna hitam, katanya.
Selain wang tunai RM5,000, perompak turut melarikan kereta jenis Honda Jazz milik Mohd Khairul Azani, tiga telefon bimbit serta barangan kemas.
Sementara itu, menceritakan kejadian tersebut kepada Bernama di kediamannya, Mohamad Lawi berkata beliau dikejutkan dengan bunyi orang memberi salam.
"Apabila membuka pintu terdapat empat lelaki yang memakai pakaian ala ninja bertanyakan anak saya dan kemudiannya mengacukan pistol lalu meluru masuk ke dalam rumah," katanya.
Mohamad Lawi berkata, seorang daripada mereka masuk ke dalam bilik menantunya dan meminta barangan kemas, manakala yang lain pula menuju ke bilik beliau di mana isterinya masih tidur.
"Tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dan kemudianya semua penyamun bergegas melarikan diri dan pada masa yang sama masih sempat mengambil beberapa barangan lain," katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam hospital, Zaid Ahmad ketika dihubungi, berkata mangsa kini sudah sedar dan dijadual menjalani pembedahan berikutan pendarahan yang tidak berhenti akibat kesan tembakan tersebut.

No comments:

Post a Comment

halaman