Tuesday, January 31, 2012

Pengurus stesen minyak disamun RM200,000 di Lebuh Raya PLUS

Seorang pengurus stesen minyak kerugian wang tunai kira-kira RM200,000 selepas disamun sekumpulan empat lelaki di Km 287, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah ke utara berhampiran kawasan Rawat dan Rehat Nilai hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Yusoff Awang berkata kejadian berlaku kira-kira 10.20 pagi ketika mangsa yang berusia 40-an memandu kereta jenis BMW untuk ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Beliau berkata mangsa yang berkerja di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) membawa wang tunai tersebut di dalam sebuah beg yang merupakan hasil jualan stesen minyak berkenaan.

Wang itu diletakkan di dalam but keretanya.

Mohd Yusoff berkata mangsa melaporkan bahawa ketika sampai di lokasi kejadian, keretanya tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Lexus.
    
"Mangsa yang merasa curiga dengan tindakan pemandu kereta di belakangnya, tidak memberhentikan kenderaannya. Suspek terus mengejar kenderaan mangsa dan sekali lagi melanggar kenderaan mangsa menyebabkan kenderaan mangsa terhenti di tepi lebuh raya.

"Selepas kenderaan mangsa berhenti, dua lelaki bertopeng yang masing-masing bersenjatakan parang keluar dari kereta jenis Toyota Lexus tersebut dan menghampiri mangsa.

"Pada masa yang sama, sebuah lagi kereta Honda Accord berwarna hitam yang dinaiki dua lagi lelaki menghampiri dan turut berhenti berdekatan kenderaan mangsa.

"Kumpulan berkenaan kemudiannya mengambil wang tunai di dalam but kenderaan mangsa dan melarikan diri dengan kereta Honda Accord itu dan meninggalkan kereta Toyota Lexus di tepi lebuh raya," kata Mohd Yusoff.

Beliau berkata polis percaya kereta Toyota Lexus terbabit adalah kenderaan curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/394 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata.- Bernama

No comments:

Post a Comment

halaman