Thursday, January 12, 2012

Remaja mati leher dikelar

USUNG...mayat mangsa dibawa ke HSA untuk dibedah siasat.
USUNG...mayat mangsa dibawa ke HSA untuk dibedah siasat.
Seorang remaja perempuan yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui mati dengan kesan kelar di leher, di rumahnya di Taman Kempas di sini hari ini.
C. Sivaranjini, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas ditemui berlumuran darah dalam bilik tidur oleh bapanya sejurus pulang dari tempat kerja kira-kira pukul 10 pagi.
Difahamkan, mangsa bersendirian di rumah manakala ibu bapanya keluar bekerja di Singapura sementara dua adik lelakinya sedang bersekolah.
Siasatan awal mendapati, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa menerusi pintu belakang dan kemudian bertindak mengelar leher Sivaranjini dipercayai menggunakan objek tajam sebelum melarikan diri menaiki motosikal.
Susulan daripada itu, polis kemudian bertindak mengesan suspek berdasarkan maklumat yang diperolehi dan hasilnya, tiga lelaki ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu di Kempas, Pasir Gudang dan Senai.
Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun akan ditahan reman bermula esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff mengesahkan kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung motif sebenar pembunuhan tersebut.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital sultanah Aminah untuk bedah siasat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

No comments:

Post a Comment

halaman