Keadaan Fifi Ramadani Syafrudin, 10, kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa tebusan seorang lelaki bersenjatakan pisau di Kampung Baru pada Isnin dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederan serius.
Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Santi, 29, berkata hanya terdapat kesan calar pada leher anak sulungnya yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dia berkata anaknya juga beransur pulih daripada perasaan ketakutan, dan sudah mula bercakap berikutan rawatan kaunseling dan nasihat yang diberikan oleh doktor kepada anaknya bagi meredakan trauma dialaminya.
Nenek kepada kanak-kanak perempuan Fifi Ramadani Syafrudin dicekik terlebih dahulu oleh suspek yang menjadikan cucunya sebagai tebusan selama enam jam, pada Isnin.
Asmah Abdul Hakim, 70, berkata pada masa kejadian pukul 9.45 pagi semalam, beliau sedang menyapu sampah di laman rumahnya di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, apabila tiba-tiba dicekik dari belakang oleh seorang lelaki.
"Masa itu nenek tengah menyapu laman rumah dan menunduk untuk membuang sampah dan tiba-tiba ada seseorang dari belakang mencekik leher nenek dengan kuat.
"Nenek minta dilepaskan tetapi suspek mengugut untuk membunuh dan mencederakan nenek jadi nenek menjerit minta tolong," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.
Asmah berkata beliau terus menjerit dan lelaki itu menjadi panik lalu menolaknya hingga beliau jatuh tersungkur.
"Nenek tengok lelaki tersebut masuk ke dalam rumah tanpa berpakaian dan terus ke dapur serta membaling makanan dan minuman yang ada di atas meja makan dan membuang air kecil di dalam rumah," katanya.
Asmah berkata jiran kemudian membantunya bangun dan membawanya ke rumah jirannya setelah melihat keadaan yang tegang di rumahnya.
Beliau berkata selepas kejadian itu, mereka mendapati lelaki itu juga didapati turut membuang air kecil di beberapa tempat dalam rumahnya, termasuk di atas tilam.
"Alhamdulillah semuanya selamat...Nenek rasa trauma sedikit disebabkan kejadian semalam dan malam tadi nenek tidak dapat tidur," katanya.
Sementara itu, dua orang kanak-kanak yang berada bersama Fifi Ramadani di dalam bilik sebelum lelaki itu menjadikan Fifi Ramadani sebagai tebusan, Nurul Nabilah Norizal, 11, dan Nazreena Hakim Hermansyah, 11, juga tidak dapat tidur kerana terbayang-bayang kejadian yang dialami mereka.
"Suspek mengacukan pisau pada leher Fifi dan Fifi terus mengundur ke belakang kerana ketakutan dan saya cuba hendak menarik tangan Fifi tetapi Fifi mengundurkan diri" kata Nazreena Hakim, yang merupakan sepupu kepada mangsa.
"Saya masih terbayangkan kejadian itu, rasa seolah-olah suspek masuk ke bilik melalui tingkap rumah dan sentiasa berada di belakang saya," katanya.
Jiran mangsa seorang suri rumah Rosnah Ahmad Awang, 50 berkata beliau ternampak suspek melalui hadapan rumahnya tanpa berpakaian dan membawa satu beg plastik di tangannya sebelum kejadian itu.
"Saya nampak lelaki itu berjalan di depan rumah dan orang ramai mengejar dia kemudiannya dia berpatah balik masuk ke lorong di kawasan rumah mangsa dan saya terdengar orang menjerit meminta tolong," katanya.
Drama tebusan tersebut bagaimanapun berakhir pada pukul 4.10 petang semalam apabila sepasukan polis dipercayai dari unit khas dipanggil lalu menyerbu masuk ke dalam bilik itu dan melepaskan empat das tembakan yang mengenai suspek.
Suspek mati ketika dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan.
No comments:
Post a Comment