Thursday, January 12, 2012

Lelaki dicari bantu kes tembak


 
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan gambar saspek yang dicari, Mohd Nazir Nayan @ Siew Loong, 31 bagi membantu siasatan kes tembak mati seorang lelaki di pintu masuk sebuah pusat membeli belah di Taman Sentosa di sini semalam, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Bahru. - BERNAMA


Polis sedang mengesan seorang ahli kumpulan kongsi gelap 'Gee Ah Eng' bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mati ditembak di Plaza Sentosa di sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, Mohd. Nazir Nayan atau dikenali sebagai Siew Loong, 31, beralamat terakhir di Nombor 36, Jalan Perwira 2, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai dicari bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
"Polis percaya lelaki ini dapat membantu menyelesaikan kes tersebut dan orang ramai diminta memberi kerjasama untuk mengesannya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.50 pagi semalam, Koh Seng Seong, 26, mati ditembak ketika melalui pekarangan kompleks beli-belah di Taman Sentosa.
Mangsa dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah premis hiburan di situ beberapa jam sebelum kejadian.
Mohd. Mokhtar berkata, Mohd. Nazir memegang kad pengenalan bernombor 800912-05-5385 dengan alamat Nombor 14, Jalan Ros 4, Taman Ros, Mantin, Negeri Sembilan.
Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat mengenai lelaki ini supaya menghubungi 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan dendam dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, tambah Mohd. Mokhtar, empat lelaki berusia 30 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan satu lagi kes tembak melibatkan seorang lelaki di sebuah restoran di Taman Ungku Tun Aminah pada 2 Januari lalu.
"Kesemua mereka ditahan reman sehingga 15 Januari ini dan hasil daripada maklumat orang awam, polis mendapat beberapa petunjuk baru untuk menyelesaikan kes ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

halaman