Thursday, January 26, 2012

Inspektor Polis Dihadap Ke Mahkamah Atas Dakwaan Rasuah

Seorang pegawai polis pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM3,000 daripada seorang pemandu teksi kira-kira tiga tahun lepas.
Inspektor Mohd Firdaus Mohd Japar, 26, dari Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes adik pemandu teksi itu dan rakannya yang ditahan bagi siasatan kes samun dan rompak.
Mohd Firdaus didakwa menerima RM3,000 daripada Norman Sapingai, 31, di Balai Polis Sungai Buloh pada 23 Feb, 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan dari 2 hingga 6 April.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mahamad Sukri Abu Seman manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Nawab Zadah Khan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman